Quick Case > LKW Menerajui Transformasi Wilayah di dalam Kerangka RMK12
Quick Case > LKW Menerajui Transformasi Wilayah di dalam Kerangka RMK12
Source: AI Generated Infographic
Penulis: Dr. Hartini Mohd Nasir
Sebanyak RM1.28 bilion dana awam telah disalurkan kepada lima Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) untuk merubah wajah sosioekonomi masyarakat desa. Namun, wujud kelompangan antara peruntukan yang disalurkan dengan impak nyata yang dirasai oleh komuniti di akar umbi. Pelaksanaan pembangunan sering terhalang oleh realiti di luar jangkaan, di mana projek kemudahan asas atau fizikal tertangguh akibat kekangan geografi, cuaca ekstrem, dan masalah teknikal.
PENDEKATAN
Perbelanjaan Pembangunan terdiri dari fizikal (prasarana, pelancongan) dan pembangunan bukan fizikal (modal insan, TVET, keusahawanan). Dalam melaksanakan mandat ini, LKW telah menyelaraskan bajet pembangunan mereka bersesuaian dengan faktor geografi dan keperluan spesifik wilayah masing-masing. KEJORA dan KESEDAR: Mengekalkan fokus utama pada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan sekuriti makanan. PERDA: menumpukan pada pembangunan perumahan dan ruang perniagaan kerana ruang geografi yang padat dengan penduduk. KETENGAH: Meletakkan tumpuan pada industri pelancongan desa (seperti Tasik Kenyir) untuk mengelakkan pergantungan kepada pertanian tradisional.
HASIL
Analisis mendedahkan LKW yang memfokus perbelanjaan bukan fizikal seperti pembangunan modal insan dan TVET (khususnya PERDA dan KEDA) berjaya mencatatkan prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) cemerlang melebihi sasaran 95 peratus. Sebaliknya, LKW yang tertumpu pada projek pembangunan infrastruktur berskala besar (KEJORA, KESEDAR, dan KETENGAH) mencatatkan penyerapan perbelanjaan DE kurang daripada 95 peratus. Antara faktor adalah pendedahan kepada faktor luar kawalan di tapak projek seperti ketidakstabilan struktur tanah dan logistik yang rumit.
PENGAJARAN UTAMA
Prestasi dan keberkesanan agensi LKW wajar berpaksikan kepada kualiti tata kelola, kecekapan dalam menaikkan produktiviti aset, serta strategi pengurusan. Kejayaan mutlak pembangunan luar bandar adalah apabila peruntukan tersebut berjaya diterjemahkan kepada hasil yang merapatkan jurang kualiti hidup antara desa dan kota, seraya menjamin kelangsungan hidup yang lebih selesa buat penduduk.
Setiausaha Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah
Dr. Hartini Mohd Nasir merupakan Setiausaha Bahagian Pembangunan Tanah & Wilayah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) semenjak 2025. Beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembangunan dasar, perancangan strategik, serta pengurusan kewangan
Dr. Hartini memulakan kerjayanya pada tahun 2001 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Kewangan. Selepas melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Jepun, beliau kembali berkhidmat di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dari tahun 2018 hingga 2020, diikuti dengan tugasan di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak (2020–2022). Beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim (2022–2024) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).