Magazine > Silicon Desa: Revolusi Baharu Wanita Luar Bandar
Magazine > Silicon Desa: Revolusi Baharu Wanita Luar Bandar
Penulis: Ts. Dr. Rossly Salleh
Tarikh: Mei 2026
Apabila wanita desa belajar kemahiran, mereka bukan sekadar mencari rezeki tetapi mereka menulis semula nasib komuniti.
Source: AI Generated Image
TVET JELITA - Revolusi Baru
Di sebuah dewan latihan di kawasan pedalaman, 30 orang wanita duduk khusyuk di hadapan mesin jahit dan peralatan pembungkusan. Kebanyakan mereka terdiri daripada suri rumah, isteri pekebun kecil getah, ibu tunggal yang belum pernah memegang sijil kemahiran seumur hidup. Hari ini, mereka bukan sahaja belajar tetapi mereka sedang mengubah ekonomi keluarga mereka. Inilah realiti di dalam Program JELITA@RISDA (Job Empowerment and Learning for Inclusive and Transformation Advancement), sebuah inisiatif transformasi TVET di bawah KKDW/RISDA yang kini menjadi harapan baharu bagi wanita pekebun kecil getah Malaysia.
386
Peserta JELITA Dilatih (2024–2025)
99.2%
Kadar Pensijilan Kemahiran
46.8%
Purata Peningkatan Pengetahuan Peserta
Cabaran dan Konteks
Data Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM) 2023 mendedahkan wanita desa agak ketinggalan dengan jurang pendapatan 35-40% menjadi pemisah. Lebih mendalam, ini adalah krisis identiti, keyakinan diri, dan hilangnya harapan bahawa peluang itu milik mereka.
Sebelum menyertai JELITA, majoriti suri rumah masih bergantung penuh pada pendapatan menoreh sang suami. Tanpa kemahiran dan sijil formal, keyakinan diri mereka pudar. “Kami tahu memasak, tapi tidak tahu cara menjualnya ke pasaran,” rintih seorang peserta program dari Johor.
Di sinilah Program JELITA memainkan peranan strategik sebagai pemangkin transformasi ekonomi wanita luar bandar. Dilancarkan pada Ogos 2023 oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri KKDW, program ini dirancang bukan sekadar untuk mengajar kemahiran, tetapi untuk membina ekosistem ekonomi baharu yang berakar di desa.
Intervensi
Dari Dewan Latihan ke Pasaran: Pendekatan JELITA
Pendekatan JELITA amat strategik: ia tidak menghantar wanita ke kota, sebaliknya membawa 64 kursus kemahiran merangkumi makanan sejuk beku, kecantikan, hingga pemasaran digital terus ke desa. Kurikulum ini diolah khusus mengikut keperluan pasaran luar bandar, membolehkan peserta menjana pendapatan hampir serta-merta selepas tamat latihan.
Program ini diperkasakan melalui kerjasama strategik pelbagai institusi, melibatkan KKDW, RISDA, UCAM dan beberapa pusat pengajian awam yang terpilih. Dengan sasaran ambisius 150,000 peserta, ia mencerminkan komitmen teguh kerajaan untuk melonjakkan nasib wanita desa secara besar-besaran.
Peserta merangkumi pelbagai latar belakang — suri rumah sepenuh masa, usahawan mikro, pekerja separa formal, belia yang mencari peluang kerja, dan wanita dari keluarga pekebun kecil getah. Pendekatan inklusif ini memastikan tiada siapa yang tertinggal, selaras dengan matlamat pembangunan negara di bawah kerangka RMK-12 untuk merapatkan jurang ekonomi bandar-luar bandar.
Source: AI Generated Infographic
64
Kursus Kemahiran Ditawarkan
15,000
Sasaran Peserta
33.5%
Peserta Berjaya Menjana Pendapatan Baharu
“TVET bukan sekadar latihan kemahiran — ia adalah pelaburan dalam maruah dan masa depan wanita desa kita.”
— YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri & Menteri KKDW
Titik Perubahan dan Komplikasi
Meskipun program mencatat kadar pensijilan yang hampir sempurna, data pasca-latihan mendedahkan jurang membimbangkan dimana hanya 33.5% peserta berjaya meraih pendapatan baharu. Ini bukanlah kegagalan semangat peserta, sebaliknya kelemahan ekosistem. Mereka terhambat oleh infrastruktur digital yang goyah, ketiadaan platform pemasaran khas, serta terputusnya sokongan teknikal selepas tamat kursus.
Kejayaan paling ketara datang dari Kursus Makanan Sejuk Beku. Seramai 30 peserta, termasuk 21 suri rumah dapat menjana pendapatan baharu. Kunci kejayaan adalah rantaian bekalan yang pendek, memudahkan jualan terus kepada komuniti melalui kumpulan Whatapps. Selain itu, Kursus Makeup & Business Training melonjakkan pendapatan sehingga RM5,000 sebulan, sekali gus membuktikan sektor kecantikan desa sebagai "niche premium" yang boleh memacu ekonomi desa yang mampan.
Hasil, Impak dan Petikan
Keberhasilan
99.5%
Kadar Kehadiran Program
RM5,000
Pendapatan Bulanan Tertinggi Dicapai Peserta
90%
Peningkatan Pengetahuan Kursus Terbaik (Pembungkusan)
Source: AI Generated Image
“Program JELITA membuktikan bahawa wanita luar bandar bukan kekurangan potensi cuma mereka hanya kekurangan peluang. Berikan mereka kemahiran dan ekosistem yang betul, mereka akan mengubah ekonomi desa.”
— Rossly Salleh, Penyelidik Utama, KKDW
Huraian Hasil
Kajian JELITA 2024–2025 menggariskan kejayaan output yang hampir sempurna iaitu 99.5% kehadiran dan 99.2% pensijilan. Bukti kecekapan program dan kesungguhan peserta ini disokong oleh peningkatan pengetahuan purata 46.8%, dengan Kursus Pembungkusan mencapai lonjakan 100%. Transformasi hidup terbukti apabila 130 peserta (33.5%) mula menjana pendapatan baharu. Paling ketara, seorang peserta Solekan dari Kedah yang asalnya tiada pendapatan, kini mengurus perniagaan sendiri dengan pendapatan bulanan melebihi RM3,000. JELITA telah menjadi titik perubahan, mengangkat mereka keluar daripada Garis Kemiskinan.
Pengajaran
Apa yang Boleh Dipelajari
1. Output Tinggi ≠ Impak Terjamin
Pensijilan 100% tidak menjamin kejayaan ekonomi. Ukuran sebenar impak TVET haruslah peratusan peserta yang melepasi Garis Kemiskinan dalam tempoh 12 bulan.
2. Ekosistem Lebih Penting daripada Kemahiran
Kemahiran unggul akan luput tanpa sokongan. Konsep “Silicon Desa”sebagai ekosistem digital bersepadu di daerah mesti menjadi matlamat dasar.
3. Kursus Makanan & Kecantikan adalah “Titik Pencetus Ekonomi”
Dua bidang ini menjana pulangan terpantas akibat rantaian bekalan pendek. Pelaburan besar dalam sektor ini untuk RMK-13 mampu menggandakan impak program.
4. Graduan JELITA Perlu Bersinergi
Model “Simbiosis Ekonomi JELITA” perlu menggandingkan pengeluar, pemasar digital, dan penyedia visual untuk mencipta ekonomi desa mandiri. Wujudkan Koperasi JELITA daerah dalam RMK-13.
5. Visi “Silicon Desa” Perlu Disokong Oleh Dasar Konkrit
Aspirasi “Luar Bandar Luar Biasa” menuntut tiga intervensi iaitu: (1) Internet 5G, (2) platform e-dagang bebas komisyen tinggi, dan (3) Dana Operasi Aset Teknologi (DOAT) bagi mengelakkan peralatan menjadi “Gajah Putih.”
Pegawai Penyelidik · Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
Rossly Salleh adalah pegawai penyelidik di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang pakar dalam pelbagai bidang TVET termasuk Teknologi Maklumat, Pertanian Moden, Pembangunan modal insan luar bandar dan analisis impak program TVET. Semasa di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), beliau telah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Program JELITA sejak 2022. Penyelidikannya memberi fokus kepada pembangunan ekosistem ekonomi luar bandar yang inklusif dan mampan, dengan penekanan khusus terhadap pemerkasaan wanita B40.