Magazine > Impak Bantuan Pendidikan Orang Asli dalam Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli di Malaysia
Magazine > Impak Bantuan Pendidikan Orang Asli dalam Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli di Malaysia
Penulis: Dr. Norfadhillaton Zahari
Tarikh: Mei 2026
Source: AI Generated Image
Pendidikan merupakan elemen penting dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli di Malaysia. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memberi sokongan penuh kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli bagi mengurangkan keciciran dan meningkatkan motivasi pelajar Orang Asli.
Melalui pelbagai inisiatif yang diterajui oleh JAKOA, akses kepada ilmu pengetahuan kini bukan lagi satu cabaran yang membebankan, malah menjadi pemangkin kepada perubahan komuniti secara menyeluruh.
221,098
Penduduk Orang Asli di Malaysia
RM255 Juta
Peruntukan Bantuan Pendidikan RMK12
18 Suku
Sub-etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia
Masyarakat Orang Asli kini sedang melalui fasa transformasi pendidikan yang signifikan. Melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan (SBGP) yang dilaksanakan JAKOA sejak 1996, ekosistem pendidikan komuniti ini diperkukuh secara menyeluruh. Daripada penyediaan wang saku dan pengangkutan sekolah sehinggalah ke pembiayaan pengajian tinggi, skim ini bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan potensi 221,098 warga pribumi dengan peluang masa depan yang lebih gemilang.
Cabaran dan Konteks
Masyarakat Orang Asli terdiri daripada 3 etnik utama iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito dan 18 sub-etnik berbeza bertumpu di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pahang, Perak dan Selangor. Setiap suku membawa bahasa, adat dan cara hidupnya sendiri yang unik. Namun, di sebalik kepelbagaian itu, terdapat satu persamaan yang menyatukan mereka: kebanyakan tinggal jauh dari kemudahan bandar, bergantung pada alam sekitar untuk menyara hidup, dan terpinggir dari arus perdana pembangunan termasuk dalam pendidikan.
Kebanyakan keluarga Orang Asli berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya pada hasil hutan dan pertanian sara diri. Menghantar anak ke sekolah bermakna menanggung kos yang tinggi kerana perlu menyediakan pelbagai keperluan seperti pakaian seragam, buku, pengangkutan, makanan di sekolah. Sebelum pelaksanaan program bantuan, terdapat anak Orang Asli terpaksa meninggalkan alam persekolahan disebabkan keluarga tidak mampu menanggung kos asasnya. Inilah jurang yang cuba ditangani Kerajaan melalui JAKOA.
JAKOA memainkan peranan strategik sebagai agensi pelaksana utama dalam pembangunan pendidikan Orang Asli melalui SBGP yang komprehensif, merangkumi pelbagai bentuk sokongan disesuaikan dengan keperluan sebenar komuniti di peringkat akar umbi.
Intervensi
Kerajaan telah memperuntukkan dana yang besar bagi pendidikan Orang Asli. Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM255.35 juta melalui skim ini.
SBGP merupakan bantuan yang disediakan bagi tujuan meringankan beban kewangan masyarakat Orang Asli meliputi pemberian wang saku, perkhidmatan pengangkutan murid, pakaian seragam, yuran persekolahan, kemudahan asrama, penyediaan makanan murid, Program Kecemerlangan Pelajar serta pembiayaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Pencapaian Utama
94%
Kadar Transisi ke Tingkatan 1 (2025)
Peningkatan sebanyak 13.2% berbanding 80.9% (2020)
1,332
Pelajar Orang Asli di IPT (2024). Peningkatan 46.2% berbanding 911 (2021)
95%
Kadar Kebolehpasaran Graduan Orang Asli (2024)
“Bantuan kewangan membantu saya menampung kos sara hidup di IPT, tanggung yuran pengajian, bantu keperluan belajar.”
— R1, Pelajar Orang Asli di IPT
Titik Perubahan
Inisiatif bantuan pendidikan ini dilaksanakan Kerajaan bagi memastikan supaya isu kemiskinan tidak menjadi faktor pelajar Orang Asli tidak mendapat kemudahan pendidikan yang sewajarnya.
Dapatan kajian menunjukkan pencapaian pendidikan pelajar Orang Asli telah mencatatkan peningkatan yang signifikan.
Hasil dan Impak
Keberhasilan
“Sekiranya tidak dapat pembiayaan, saya tidak mampu melanjutkan pelajaran. Bantuan kerajaan mengubah masa depan saya sepenuhnya.”
— Pelajar Orang Asli (R5), Penerima Biasiswa JAKOA
Huraian Hasil
Berdasarkan kajian terkini, kadar transisi murid Orang Asli mencatatkan peningkatan kepada 94 peratus pada tahun 2025, berbanding hanya 80.9 peratus pada tahun 2020. Kenaikan sebanyak 13.2 peratus ini menjadi bukti keberkesanan kerjasama strategik yang berterusan antara JAKOA dan KPM dalam meminimumkan kadar keciciran secara signifikan.
Seiring dengan itu, pencapaian akademik dalam peperiksaan awam turut menunjukkan trend positif. Pada tahun 2025, kadar kelulusan SPM murid Orang Asli mencapai tahap tertinggi iaitu 83.2 peratus, melonjak sebanyak 22.9 peratus daripada pencapaian tahun 2022 (60.3 peratus). Kualiti keputusan juga semakin meningkat dengan seramai 62 pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang (6A ke atas) pada tahun 2025, berbanding 59 orang pada tahun sebelumnya. Kecemerlangan ini diteruskan dalam peperiksaan STPM dengan peningkatan kadar pencapaian sebanyak 9.5 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun 2022.
Peluang pendidikan tinggi turut memperlihatkan perkembangan yang amat membanggakan. Bilangan pelajar Orang Asli di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meningkat kepada 1,332 orang pada tahun 2024, iaitu pertumbuhan sebanyak 46.2 peratus berbanding 911 orang pada tahun 2021.
Bagi tempoh 2021 hingga 2024, seramai 33 pelajar Orang Asli telah terpilih melanjutkan pengajian ke luar negara di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN). Pecahan ini melibatkan:
17 pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda;
10 pelajar di peringkat Sarjana; dan
6 pelajar di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Kejayaan pendidikan ini membuahkan hasil di alam kerjaya apabila kadar kebolehpasaran graduan Orang Asli meningkat kepada 95 peratus pada tahun 2024, berbanding 87.9 peratus pada tahun 2023. Data daripada Laporan Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi ini mengesahkan bahawa graduan Orang Asli kini semakin relevan dan mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan semasa.
Pegawai Tadbir dan Diplomatik · KKDW
Dr. Norfadhillaton binti Zahari ialah Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bertugas sebagai ahli Kumpulan Pemikir (Think Tank) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 21 tahun dan aktif menjalankan kajian-kajian berkaitan perkhidmatan awam di Malaysia, selain merupakan penulis dan penilai (reviewer) bagi jurnal berimpak tinggi.