Magazine > Dana Pembangunan Wilayah: Sejauh Manakah Desa Kita Membangun?
Magazine > Dana Pembangunan Wilayah: Sejauh Manakah Desa Kita Membangun?
Penulis: Dr. Hartini Mohd Nasir
Tarikh: Mei 2026
Menyingkap realiti sejauh mana peruntukan dana awam benar-benar berkesan dalam merubah landskap kehidupan masyarakat luar bandar.
Nadi Pembangunan Desa: Meneroka Realiti Prestasi Kewangan Lembaga Kemajuan Wilayah di Sebalik Angka
Sebanyak RM1.28 bilion dana awam dicurahkan dengan harapan besar untuk merubah wajah sosio ekonomi desa, dilaksanakan oleh lima Lembaga Kemajuan Wilayah sebagai penggerak nadi rakyat dalam memastikan kawasan desa tidak terus terpinggir
>95%
Prestasi Perbelanjaan Pengurusan dan Pembangunan
Sektor ekonomi Prasarana Pelancongan, Perumahan, Modal Insan/ TVET dan Keusahawanan
Cabaran dan Konteks
Di sebalik limpahan dana berbilion ringgit, wujud satu realiti pahit yang sering terlepas pandang, sejauh manakah wang ini benar-benar menyentuh kehidupan rakyat di akar umbi? Masalah utama yang mendorong penelitian ini adalah kelompongan antara peruntukan yang disalurkan dengan impak nyata yang dirasai oleh komuniti luar bandar. Apabila projek kemudahan asas tertangguh dan lambat disiapkan, siapakah yang terpaksa menanggung akibatnya? Jawapannya sudah pasti penduduk desa itu sendiri. Mereka yang secara langsung menjadi mangsa keadaan ini adalah anak-anak muda belia yang menanti peluang latihan kemahiran untuk membina masa depan, barisan usahawan kecil yang amat mendambakan sokongan modal serta peralatan untuk membesarkan perniagaan, dan ribuan keluarga yang setiap hari mengharapkan kemudahan jalan raya serta prasarana yang lebih baik demi keselesaan hidup. Ia adalah soal maruah, harapan, dan kelangsungan hidup sesebuah komuniti. Sekiranya kelewatan projek dan kelemahan pengurusan ini tidak ditangani dengan telus, impian untuk merapatkan jurang kemiskinan antara warga kota dan penduduk luar bandar akan terus berkecai. Dana yang diamanahkan untuk menjadi 'jambatan kemajuan' tidak lagi bermakna jika penerima manfaat utama—rakyat di pedalaman—terus dibiarkan tertinggal di belakang arus pemodenan.
LKW sebagai Nadi Penggerak
Namun tanpa kita sedari, sebenarnya terdapat wira tidak didendang yang menggalas tanggungjawab berat untuk memastikan kawasan pedalaman dan desa tidak terus terpinggir. Mereka ialah Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW), agensi di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Terdapat lima LKW utama yang memainkan peranan yang cukup signifikan dalam mencorak landskap sosioekonomi di Malaysia, iaitu KEJORA, KETENGAH, KESEDAR, KEDA, dan PERDA.
Matlamat utama penubuhan organisasi ini secara dasarnya adalah untuk memacu pembangunan sosioekonomi demi mengimbangi jurang di antara kawasan bandar dan luar bandar. Aspirasi besar ini juga adalah sejajar dengan halatuju yang digariskan di dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030). Kerajaan persekutuan menyalurkan sumber kewangan melalui Perbelanjaan Mengurus (OE) untuk memastikan kelancaran operasi harian, serta Perbelanjaan Pembangunan (DE) yang dikhususkan untuk projek infrastruktur dan pelbagai inisiatif untuk kemajuan rakyat. Perbelanjaan pembangunan (DE) LKW merangkumi dua sektor utama: pembangunan fizikal yang melibatkan pembinaan prasarana, pelancongan, dan hartanah, serta pembangunan bukan fizikal yang lebih memfokuskan kepada pembangunan modal insan, TVET, dan keusahawanan. Dalam dunia pengurusan kewangan awam, pencapaian penyerapan perbelanjaan yang melepasi angka 95 peratus sering dianggap sebagai sasaran kritikal. Ia bukanlah sekadar nombor, sebaliknya merupakan satu petunjuk yang melambangkan kecekapan sesebuah agensi dalam merealisasikan program yang dirancang tanpa melibatkan pembaziran kewangan yang ketara.
Namun, persoalan penting yang sering timbul kepada para pembuat dasar dan masyarakat: sejauh manakah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan benar-benar diuruskan dengan cekap dan berkesan? Untuk menjawab persoalan ini, sebuah analisis yang menelusuri prestasi kewangan LKW dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021 hingga 2024 telah menyingkap penceritaan yang amat menarik.
Kerangka RMK12 : Projek Fizikal dan Bukan Fizikal
Inisiatif dan projek pembangunan (di bawah Perbelanjaan Pembangunan RMK-12) yang telah digerakkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) untuk mengubah nasib penduduk luar bandar.
Memperkasa Bakat Tempatan melalui TVET: Mengubah landskap pendidikan anak desa dengan menubuhkan pusat-pusat latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET). Belia kini dilatih dalam bidang berimpak tinggi seperti kejuruteraan elektrik, kimpalan, automotif, agroteknologi, dan seni reka fesyen bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang tidak lagi hanya bergantung kepada pertanian tradisional.
Menyokong Kelangsungan Usahawan Desa (IKS): Menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif melalui pembiayaan program latihan, pembinaan premis perniagaan seperti bazar dan arked, serta pemberian bantuan peralatan untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Intervensi ini telah berjaya membantu ribuan usahawan dalam bidang makanan, perkhidmatan, dan pembinaan.
Merancakkan Ekopelancongan: Peluang Ekonomi Alternatif: Menjadikan pelancongan desa sebagai pemangkin ekonomi baharu menerusi projek agropelancongan, penternakan lebah kelulut, dan pembangunan infrastruktur tarikan utama seperti di Pantai Tanjung Balau dan Tasik Kenyir.
Pemodenan Infrastruktur Perhubungan: Melaksanakan pembinaan dan naik taraf kemudahan asas yang kritikal, termasuk jalan pertanian, penempatan bersepadu, dan sistem kumbahan. Pembinaan jalan perhubungan ini bukan sahaja demi keselamatan, malah mengurangkan kos logistik hasil tani penduduk ke pasaran luar. Revolusi Pertanian Moden: Beralih daripada kaedah lama kepada projek berskala komersial seperti perladangan kontrak, tanaman berkelompok, integrasi ternakan, sistem fertigasi, dan penternakan burung walit bagi menambah nilai produk kampung serta menjamin sekuriti makanan negara.
Bagi memastikan setiap intervensi ini tidak sekadar menjadi 'projek gajah putih', satu kolaborasi strategik telah digerakkan melibatkan pelbagai pihak yang berkepentingan. Di kemuncak pengurusan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertindak sebagai pemacu utama bersama lima agensi wilayah iaitu KEJORA, KETENGAH, KESEDAR, KEDA, dan PERDA yang memikul amanah sebagai pelaksana di lapangan. Kekuatan intervensi ini turut disokong oleh rakan kongsi strategik dalam bidang pendidikan seperti GIATMARA, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bagi menjamin kualiti latihan TVET yang diberikan kepada anak muda. Namun, nadi sebenar kejayaan ini terletak pada penglibatan aktif komuniti itu sendiri. Ia melibatkan sinergi erat daripada ribuan usahawan desa yang gigih membina perniagaan, barisan pelajar yang dahagakan ilmu kemahiran, serta kelompok petani dan peladang yang mengusahakan tanah wilayah demi kelestarian ekonomi setempat. Malah, penglibatan kontraktor tempatan dalam projek infrastruktur fizikal turut menjadi rantaian penting bagi memastikan setiap prasarana yang dirancang dapat dinikmati oleh penduduk luar bandar dengan sebaiknya.
Pelaksanaan intervensi berskala besar ini tidak digerakkan secara melulu, sebaliknya distrukturkan dengan teliti merentasi lima pelan pusingan (Rolling Plan) di bawah kerangka RMK-12. Komponen utama intervensi ini dipecahkan kepada lima sektor teras bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan holistik. Tunjang utamanya didominasi oleh komponen pembangunan infrastruktur fizikal yang diperuntukkan sebanyak RM715.41 juta, bertujuan menyediakan kemudahan asas dan merapatkan jurang kualiti hidup rakyat. Bagi menjana kelangsungan ekonomi penduduk pula, komponen keusahawanan disuntik dengan dana sebanyak RM175.71 juta , seiring dengan pelaburan bernilai RM173.62 juta dalam komponen modal insan dan TVET bagi melahirkan belia desa berkemahiran tinggi. Seterusnya, intervensi ini turut diperkukuh melalui komponen pemodenan pertanian dengan peruntukan RM141.21 juta bagi memacu sekuriti makanan dan pendapatan petani , serta inisiatif pelancongan desa bernilai RM78.49 juta. Pengagihan dana secara pelbagai serampang ini dirangka secara spesifik agar bertepatan dengan bentuk muka bumi wilayah, kekuatan sumber semula jadi, dan keperluan sebenar komuniti yang terlibat.
164,693
Peserta merentas 6 program (2021–2025)
10,537
Jumlah kelas kemahiran dijalankan
52,264
Peserta program daya tahan ekonomi
Titik Perubahan
Walaupun peruntukan dana berjuta ringgit telah disalurkan untuk pembangunan wilayah, pelaksanaannya sering terhalang oleh realiti di luar jangkaan terutamanya bagi projek pembangunan fizikal seperti kekangan geografi, cuaca ekstrem, dan kelewatan teknikal yang menjejaskan sasaran projek infrastruktur bagi agensi seperti KESEDAR dan KETENGAH. Sebaliknya, terdapat LKW seperti KEDA yang menumpukan kepada strategi pelaksanaan projek perumahan berseragam dan pengurusan tapak yang efisien, lantas merekodkan prestasi perbelanjaan yang sangat cemerlang. Kesimpulannya, penyaluran dana hanyalah langkah permulaan; kejayaan sebenar pembangunan luar bandar amat menuntut kelincahan strategi pengurusan yang praktikal serta kepekaan agensi dalam membina ekosistem ekonomi yang bertepatan dengan keupayaan masyarakat setempat.
Hasil dan Impak
Keberhasilan
3 LKW prestasi DE kurang 95%
Pelaksanaan Projek Fizikal
Source: AI Generated Image
Source: AI Generated Image
Setiausaha Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah
Dr. Hartini Mohd Nasir merupakan Setiausaha Bahagian Pembangunan Tanah & Wilayah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) semenjak 2025. Beliau mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembangunan dasar, perancangan strategik, serta pengurusan kewangan
Dr. Hartini memulakan kerjayanya pada tahun 2001 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Kewangan. Selepas melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Jepun, beliau kembali berkhidmat di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dari tahun 2018 hingga 2020, diikuti dengan tugasan di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak (2020–2022). Beliau kemudiannya memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Perubahan Iklim (2022–2024) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).