Magazine > Keberuntungan Manfaat Kehidupan: Eksplorasi Pembangunan Infrastruktur Jalan Luar Bandar
Magazine > Keberuntungan Manfaat Kehidupan: Eksplorasi Pembangunan Infrastruktur Jalan Luar Bandar
Penulis: Dr. Hamizah Abdul Fattah
Tarikh: Mei 2026
Source: AI Generated Image
Kawasan luar bandar di Malaysia, jalan raya bukan sekadar laluan fizikal yang menghubungkan satu tempat ke satu tempat lain. Bagi penduduk desa, ia adalah nadi lonjakan kehidupan — laluan ke sekolah, ke klinik, ke kebun, ke pasar dan ke peluang masa depan yang lebih baik
Di sesetengah tempat, ketersediaan jalan baharu mengubah rutin harian penduduk yang selama ini bergantung kepada laluan tanah merah, jambatan uzur atau perjalanan tempoh masa yang panjang dan berjam-jam ke bandar terdekat. Di samping itu, pembinaan jalan membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan akses perkhidmatan asas yang cekap dan berkesan. Namun di sebalik kemudahan itu, pembangunan infrastruktur juga membawa persoalan tentang kelestarian, keselamatan dan keseimbangan alam sekitar yang digantikan dengan permukaan tar bitumen keras dan panas berbanding lapisan tanah dan tumbuhan hijau yang segar membebaskan oksigen kepada makhluk muka bumi yang lain.
2,000+
Kilometer Jalan Luar Bandar Dinaik Taraf (RMKe-12)
141
Jambatan dinaik taraf
RM10k+
Nilai Hartanah Meningkat Selepas JALB dibina
Cabaran dan Konteks
Trend aliran migrasi semasa yang bercorak ke bandar berbanding ke luar bandar mencetuskan persoalan akan keperluan dan relevansi peruntukan serta pelaburan masa hadapan untuk disalurkan kepada pembangunan luar bandar. Kadar urbanisasi di Malaysia kini mencecah kepada 80% yang menetap di kawasan bandar. Apakah justifikasi keperluan dana pembangunan luar bandar kini berbaki hanya 20% untuk masa hadapan?
Kunci utama jalan perhubungan dibina bagi menghubungkan laluan fizikal kepada manusia. Kewujudan populasi manusia pada sesuatu tempat memerlukan aksessibiliti perhubungan lengkap dan berkesan dalam memudahkan cara dan corak kehidupan manusia. Sekiranya jumlah penduduk tidak ramai, ketersediaan pembangunan infrastruktur tidak dimanfaatkan sepenuhnya malah ia dianggap suatu bentuk pembaziran dana kerajaan. Maka, pelaburan pembangunan infrastruktur adalah lebih afdal untuk dilaksanakan di kawasan bandar berbanding luar bandar. Disamping itu, kebarangkalian menenggelamkan identiti luar bandar, desa mahupun kampung bakal terjadi apabila melihat arus kemajuan dan pembangunan teknologi semasa termasuk penggunaan kecerdasan buatan. Apakah kepentingan prospek pembangunan infrastruktur jalan luar bandar sedangkan trend migrasi masih menjurus kepada bandar?
Tidak dinafikan tarikan pembangunan infrastruktur bandar adalah lengkap, sistematik dan moden dapat memudahkan kehidupan manusia. Bagaimanapun, aliran migrasi kebelakangan ini menunjukkan sedikit perubahan apabila trend migrasi ke bandar menurun dari 3% pada tahun 2020 kepada 2.4% pada tahun 2022. Biarpun identiti desa mahupun kampung semakin tenggelam yang dipengaruhi dunia kecanggihan, pembangunan infrastruktur luar bandar adalah kekal relevan sepanjang masa dalam mencerminkan budaya dan adat asal kehidupan masyarakat terdahulu. Penyaluran dana peruntukan kepada infrastruktur luar bandar termasuk penyelenggaraan perlu diberi perhatian sewajarnya dalam memberi suntikan pelaburan infrastruktur mengikut rentak dan topografi masyarakat luar bandar. Oleh itu, pembangunan infrastruktur luar bandar mempunyai justifikasi tersendiri dalam menyumbang prospek kemajuan dalam negara.
Intervensi
Pendekatan KKDW: Infrastruktur Jalan sebagai Laluan Penghubungan dan Pemangkin Sosioekonomi
Projek Jalan Luar Bandar (JALB) dilaksanakan bagi memperbaiki dan memperluaskan sistem pengangkutan di luar bandar dalam usaha berterusan ke arah mempertingkatkan liputan dan memperbaiki rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar. Ia dibina mengikut piawaian JKR iaitu R1, R2 dan R3 dan melibatkan perubahan jajaran jalan iaitu pengambilan balik tanah. Kelebaran jalan di antara 22 hingga 27 kaki (antara 6.0 hingga 6.5 meter) dengan bebanan dan ketahanan maksimum adalah 20 tan.
Pemilihan projek infrastruktur jalan luar bandar perlu mempunyai kesan signifikan positif kepada penduduk setempat. Antara pemilihan kriteria adalah melibatkan kos pembangunan jalan yang tinggi, golongan sasar yang besar dan meluas, keutamaan nasional dan mempunyai kesan yang berganda kepada masyarakat.
Secara terperinci, garis piawaian sesebuah projek untuk dibangunkan adalah projek tersebut perlu mempunyai potensi seperti mengurangkan 30% masa perjalanan berbanding rangkaian jalan sedia ada; meningkatkan sekurang-kurangnya 20% pendapatan penduduk; meningkatkan sekurang-kurangnya 20% nilai tanah di sekitar jajaran projek yang dilaksanakan dan sekurang-kurangnya 90% pengguna berpuas hati akan fungsi, kualiti dan keselamatan jalan yang dibina (GP JALB, 2022).
Projek Jalan perhubungan desa (JPD) adalah keperluan aksessibiliti yang menyumbang kepada kesejahteraan hidup masyarakat di luar bandar dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Fokus pelaksanaan perhubungan jalan yang bersifat touch point dan people centric, Kementerian komited untuk memastikan semua kampung dan penduduk menerima manfaat demi memajukan akses jalan perhubungan dan tuntutan pembangunan sosioekonomi yang berkaitan. Kementerian mengadaptasi pendekatan terbaik dalam melaksanakan projek-projek yang memberikan manfaat kepada masyarakat di luar bandar melalui panduan yang jelas yang direkayasa (reengineering).
Source: AI Generated Image
12%+
Kadar peningkatan pendapatan penduduk selepas JALB siap dibina
-21.7%
Kadar migrasi menurun dari bandar ke luar bandar selepas JALB siap dibina
10%+
Kadar peningkatan pendapatan penduduk selepas JPD siap dibina
"Infrastruktur pembangunan jalan luar bandar — hak asas penduduk luar bandar untuk menikmati kemudahan ameniti sosial yang setara dengan penduduk bandar."
— Dr. Hamizah Abdul Fattah, Penyelidik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
Titik Perubahan dan Komplikasi
Penyesuaian jajaran jalan JALB terpaksa dilaksanakan apabila berhadapan dengan keadaan muka bumi, isu alam sekitar dan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk persetujuan pengambilan tanah. Topografi kawasan yang tidak sekata dan penerokaan alam semulajadi dikhuatiri menjejaskan tahap kelestarian kawasan sekitar. Perubahan skop kerja melibatkan kekurangan 220 meter dan pertambahan skop pembinaan jambatan berbanding kerja asal kontrak yang dipersetujui.
Pelaksanaan JPD melibatkan kebenaran izin lalu daripada tuan tanah bagi menyelesaikan hamparan pembinaan jalan. Jika tuan tanah tidak memberikan kerjasama, pengambilan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan isu dan tuntutan oleh pewaris pada masa hadapan. Oleh itu, sebarang pembangunan infrastruktur jalan luar bandar adalah digalakkan untuk menyelesaikan isu hak milik tanah demi kelancaran pembinaan jalan.
Hasil, Impak dan Petikan
Keberhasilan
96%
Peningkatan pendapatan melalui aktiviti perniagaan bagi projek JALB
93%
Peningkatan pendapatan melalui aktiviti pelancongan bagi projek JALB
93.5%
Peningkatan pendapatan melalui aktiviti pertanian bagi projek JALB
"Projek pembangunan infrastruktur jalan luar bandar membuka peluang ekonomi kepada penduduk menerusi aktiviti perniagaan, pertanian, pemasaran dan komersial — laluan aksessibiliti strategik, perkhidmatan infrastruktur yang berkualiti, penyelenggaraan yang berterusan menaik taraf sosioekonomi dan kehidupan lestari serta progresif."
— Dr. Hamizah Abdul Fattah, Penyelidik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
Huraian Hasil
Ketersediaan JALB dan JPD membuka prospek ekonomi penduduk melalui peningkatan nilai hartanah dan peningkatan pendapatan. Aspek penghayatan melalui penghargaan dalam konteks visualisasi tidak dapat dicerminkan secara fizikal namun hanya boleh dinikmati oleh individu yang dapat menyelami konteks psikologi (attachment) kepada tempat dan kawasan tersebut.
Pengajaran
Apa yang Boleh Dipelajari
1. Kepuasan Pengguna Perlu Disertai Penyelenggaraan Berkala
Kepuasan pengguna melebihi 90% adalah pencapaian membanggakan, namun ia tidak bermakna infrastruktur terpelihara sepenuhnya. Kajian mendapati tahap kepuasan merosot apabila berlaku banjir atau kelewatan penyelenggaraan. Sistem perancangan penyelenggaraan berkala yang proaktif, dengan peruntukan yang mencukupi dan kontraktor yang kompeten, mesti menjadi sebahagian daripada setiap projek infrastruktur jalan.
2. Kajian Kebolehlaksanaan Projek adalah Penentuan Pelaksanaan Projek
Pembangunan infrastruktur yang tidak disokong kajian kebolehlaksanaan yang teliti boleh mengundang risiko kepada penduduk — dari ancaman cerun runtuh, banjir kilat, hinggalah pencemaran persekitaran. Setiap projek mesti melalui penilaian impak yang menyeluruh, termasuk kajian geologi, hidrologi, dan persekitaran, sebelum peruntukan diluluskan.
3. Infrastruktur Jalan adalah "Catalytic Investment" untuk Ekonomi Desa
Peningkatan pendapatan 12.18%, kenaikan nilai hartanah RM10,000/ekar, dan kerancakan aktiviti pertanian membuktikan bahawa jalan luar bandar bukan sekadar kemudahan fizikal — ia adalah pemangkin ekonomi yang berkuasa. Pelaburan berterusan dalam projek JALB dan JPD untuk RMKe-13 berpotensi menggandakan impak sosioekonomi kepada komuniti desa secara signifikan.
4. Visualisasi Infrastruktur dan Integrasi Alam Sekitar - Elemen Penghayatan
Kajian mendapati elemen landskap jalan mempunyai kesan signifikan terhadap persepsi kualiti visual dan pengalaman emosi pengguna. Pembangunan jalan luar bandar perlu mengintegrasikan elemen landskap lembut dan kejur, zon penampan hijau, dan rekabentuk yang mesra alam — bukan sekadar hampar bitumen. Ini bukan kemewahan estetik, tetapi strategi psikologi yang mempengaruhi keselamatan dan kesejahteraan pengguna.
5. Tadbir Urus Berasaskan Data dan Penilaian Outcome adalah Masa Depan KKDW
Pengurusan infrastruktur yang berkesan memerlukan tiga intervensi dasar: sistem pemantauan berkala untuk mengesan premis yang memerlukan sokongan segera, indikator prestasi yang melampaui kadar kepuasan untuk mengukur impak sebenar kepada sosioekonomi penduduk, dan mekanisme maklum balas komuniti yang membolehkan penduduk melaporkan cabaran lapangan. Data empirikal, bukan andaian, mesti menjadi asas setiap keputusan peruntukan projek.
Penyelidik Pembangunan Luar Bandar · Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
Hamizah Binti Abdul Fattah adalah penyelidik dalam bidang persekitaran buatan manusia (built-environment) yang merangkumi perancangan bandar dan wilayah, perumahan dan rekabentuk seni bina bagi fungsi dan aktiviti manusia. Berkhidmat di Pejabat KKDW Negeri Selangor/Wilayah Persekutuan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak tahun 2024. Fokus kajian terdahulu adalah perumahan sosial yang menyelusuri faktor mempengaruhi mobiliti penduduk. Ia merupakan subset dalam konteks migrasi yang menjadi dilema pembangunan luar bandar akan trend aliran penduduk luar bandar ke bandar.