Current Journal > Pemerkasaan STEM Luar Bandar Sebagai Pemacu Modal Insan Teknikal Malaysia
Current Journal > Pemerkasaan STEM Luar Bandar Sebagai Pemacu Modal Insan Teknikal Malaysia
Penulis: Siti Rozaini Ahmad, Surya Sumarni Hussein
ABSTRAK
Pembangunan asas modal insan teknikal yang kukuh adalah penting untuk peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi. Namun, pelajar di kawasan luar bandar sering menghadapi kekurangan fasiliti seperti akses yang terhad kepada sumber pembelajaran STEM, pendedahan teknologi dan sokongan akademik berstruktur. Kajian ini mengkaji bagaimana Program Luar Bandar Cerdik STEM berfungsi sebagai mekanisme pembangunan modal insan teknikal melalui pemerkasaan pendidikan di kawasan luar bandar. Program dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melibatkan 47 buah sekolah rendah (3,524 pelajar Tahun Enam) dan 25 buah sekolah menengah dari komuniti luar bandar dan B40. Reka bentuk kajian adalah pendekatan kuantitatif deskriptif. Data sekunder diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang meliputi keputusan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan SPM bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains termasuk subjek-subjek STEM iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti pelajar sekolah rendah mencapai tahap penguasaan yang memuaskan (TP3–TP5) dengan peningkatan beransur-ansur dalam tahap penguasaan yang lebih tinggi. Di peringkat sekolah menengah, kebanyakan pelajar mencapai tahap lulus dan kredit walaupun kecemerlangan dalam mata pelajaran STEM khusus masih rendah. Hasil kajian membuktikan bahawa inisiatif pemerkasaan STEM di kawasan luar bandar mampu memperkukuhkan kompetensi asas dan menyumbang kepada pelan pembangunan modal insan teknikal Malaysia bagi jangka panjang.