Current Journal > Impak Ekosistem Pembangunan Usahawan Desa: Hubungan Sikap Dan Kepuasan Usahawan
Current Journal > Impak Ekosistem Pembangunan Usahawan Desa: Hubungan Sikap Dan Kepuasan Usahawan
Penulis: Emisham Embong, Saidatul Rahah Hamidi
ABSTRAK
Ekosistem Pembangunan Usahawan Desa dirangka sebagai inisiatif strategik oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMKe-12) bagi memperkasa ekosistem keusahawanan luar bandar. Program Pemerkasaan Produk dan Pensijilan merupakan salah satu inisiatif ekosistem tersebut dan dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 2.5 juta. Tiga komponen program ini ialah (1) naik taraf premis dan pensijilan, (2) bantuan peralatan dan mesin serta (3) bantuan pembungkusan dan pelabelan produk. Kajian ini bertujuan untuk (1) menilai profil sosiografi dan butiran perniagaan usahawan penerima bantuan, (2) menganalisis impak sosioekonomi program dari aspek pendapatan, jualan, peluang pekerjaan, kaedah jualan, liputan pasaran, dan pensijilan produk serta (3) menilai keberkesanan program berasaskan perspektif Stakeholder Theory. Pendekatan kuantitatif deskriptif digunakan dengan kaedah bancian (census) melibatkan 55 orang usahawan merentasi tiga daerah di Wilayah KETENGAH iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. Data dikumpul melalui soal selidik dan dianalisis menggunakan SPSS v23. Program ini memberikan impak sosioekonomi yang signifikan. Kemiskinan tegar berjaya menjadi sifar daripada 21.82%, pendapatan kategori B40 meningkat daripada 32.73% kepada 54.55%, dan pendapatan kategori M40 meningkat daripada 7.27% kepada 20%. Terdapat trend peningkatan dalam penjualan dalam talian, liputan pasaran ke negeri lain dan perolehan pensijilan Halal, Mesti dan Home Base Food. Sebanyak 89.2% usahawan kekal aktif dalam perniagaan. Program Pemerkasaan Produk dan Pensijilan terbukti berkesan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi usahawan desa. Intervensi berstruktur melalui tiga komponen program mampu mentransformasi perniagaan kecil luar bandar kepada entiti berdaya saing. Program masa hadapan disarankan mengintegrasikan pemerkasaan digital, pemasaran global, pemantauan berterusan dan pembinaan sikap usahawan bagi memaksimumkan impak jangka panjang.