Current Journal > Penilaian Strategik Program Pembangunan Pelajar Luar Bandar Dalam Tempoh RMK-12: Analisis Pelaksanaan, Kecekapan dan Potensi Sumbangan Terhadap Kebolehpasaran Graduan
Current Journal > Penilaian Strategik Program Pembangunan Pelajar Luar Bandar Dalam Tempoh RMK-12: Analisis Pelaksanaan, Kecekapan dan Potensi Sumbangan Terhadap Kebolehpasaran Graduan
Penulis: Hasnan Md Aris, Ariff Md Ab Malik
ABSTRAK
Peruntukan tahunan yang signifikan bagi meningkatkan kemahiran, keupayaan pekerjaan dan potensi pendapatan telah diberikan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melaksanakan program pembangunan pelajar yang meliputi pelajar daripada Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan pelajar-pelajar luar bandar yang lain. Walau bagaimanapun, penilaian keberkesanan program pembangunan pelajar masih cenderung tertumpu kepada aspek pelaksanaan seperti bilangan program yang dianjurkan dan jumlah penyertaan pelajar. Pendekatan ini walaupun memberikan gambaran mengenai skala pelaksanaan, namun tidak mencukupi untuk menilai sejauh mana program tersebut benar-benar memberi impak terhadap kebolehpasaran graduan. Kajian ini bertujuan menilai pelaksanaan Program Pembangunan Pelajar Luar Bandar dari perspektif strategik dengan memberi penekanan kepada aspek kecekapan pelaksanaan, skala capaian serta potensi sumbangan terhadap kebolehpasaran graduan. Kajian menggunakan pendekatan kuantitatif berasaskan analisis data sekunder bagi tempoh 2021 hingga 2025 merangkumi data berkaitan dengan bilangan program, penyertaan pelajar, kluster program serta peruntukan kewangan. Analisis dilakukan menggunakan statistik deskriptif, analisis trend serta pengiraan nisbah kos per peserta bagi menilai kecekapan pelaksanaan program. Analisa menunjukkan bahawa terdapat variasi ketara dalam bilangan program dan penyertaan pelajar sepanjang tempoh kajian. Sambutan program berbentuk promosi mempunyai capaian peserta yang luas dengan kos yang rendah, manakala program berfokus kepada pembangunan kompetensi dan kepimpinan melibatkan kos yang lebih tinggi tetapi berpotensi memberi impak yang lebih mendalam. Kajian ini mencadangkan pembangunan model pemantauan bersepadu berasaskan rantaian input-output-outcome-impak bagi memperkukuh penilaian program pada masa hadapan. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada penambahbaikan dasar dan pelaksanaan program pembangunan pelajar yang lebih berimpak dan mampan.