Current Journal > Peranan Kolej Profesional MARA dalam Pembangunan Modal Insan Bumiputera
Current Journal > Peranan Kolej Profesional MARA dalam Pembangunan Modal Insan Bumiputera
Penulis: Amelia Ismail, Ariff Md Ab Malik
ABSTRAK
Ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch) dan kos pensijilan profesional yang tinggi terus menjadi cabaran utama kepada kebolehpasaran graduan Bumiputera dalam pasaran kerja berkemahiran tinggi. Pelajar daripada kumpulan B40 dan M40 berhadapan kekangan akses kepada kompetensi tambahan disebabkan faktor kos dan terbatasnya laluan pengiktirafan profesional dalam ekosistem pendidikan semasa. Kajian ini bertujuan meneliti peranan Kolej Profesional MARA (KPM) dalam pembangunan modal insan dan mobiliti sosial Bumiputera, dengan tumpuan kepada tiga dimensi utama: akses pendidikan, pembangunan kompetensi dan outcome graduan. Kajian menggunakan reka bentuk kajian kes institusi berasaskan analisis dokumen dan data sekunder, melibatkan dokumen Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA, data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2024 dan Laporan Kajian Keberkesanan Program Pengajian BPT oleh Unit Perunding Universiti Malaya (UPUM). KPM berfungsi sebagai saluran mobiliti sosial yang signifikan kepada pelajar Bumiputera daripada kumpulan B40 (56.6%) dan M40 (30.6%), di samping menyediakan penjimatan kos pensijilan profesional sehingga 98.2%. Transformasi program di bawah RMK-12 melalui pengintegrasian kurikulum industri yang diiktiraf badan profesional seperti SAS, CILT dan AQIF ke dalam struktur program sedia ada turut memperkukuh model pendidikan KPM agar lebih responsif terhadap keperluan industri. Kajian ini mencadangkan pemantapan model pendidikan berintegrasi kurikulum industri sebagai pendekatan strategik dalam memperkukuh pembangunan modal insan Bumiputera selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan Dasar PuTERA35.