Current Journal > Impak Bantuan Pendidikan Orang Asli dalam Pemerkasaan Orang Asli di Malaysia
Current Journal > Impak Bantuan Pendidikan Orang Asli dalam Pemerkasaan Orang Asli di Malaysia
Penulis: Norfadhillaton Zahari
ABSTRAK
Masyarakat Orang Asli merupakan kumpulan peribumi di Semenanjung Malaysia. Kajian terdahulu menjelaskan wujudnya jurang pendidikan yang signifikan antara Orang Asli dan kaum lain di Malaysia disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya isu kewangan dan tahap kesedaran yang rendah di kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan. Bagi menangani permasalahan ini, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membelanjakan RM255.35 juta dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan. Kajian ini bertujuan mengenal pasti dasar pendidikan Orang Asli di Malaysia, menganalisis impak program bantuan pendidikan JAKOA terhadap tahap pendidikan masyarakat Orang Asli, serta mengenal pasti isu dan cabaran dalam usaha pemerkasaan komuniti ini. Kajian menggunakan reka bentuk kaedah campuran yang menggabungkan analisis data sekunder daripada dokumen dasar dan laporan rasmi agensi kerajaan, disokong oleh temu bual separa berstruktur bersama belia Orang Asli, guru sekolah, serta pegawai JAKOA melalui teknik persampelan bertujuan. Dapatan kajian mendapati inisiatif bantuan pendidikan kepada masyarakat Orang Asli telah berjaya mencapai objektifnya, dengan impak positif terhadap kadar transisi murid, pencapaian dalam peperiksaan utama, dan peningkatan bilangan pelajar Orang Asli ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara. Namun, antara isu dikenal pasti termasuk kelewatan penyaluran bantuan, kesedaran komuniti yang rendah, dan kekurangan infrastruktur pengangkutan di kawasan pedalaman. Bantuan pendidikan JAKOA perlu diperkasa dan diperluas bagi merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui akses pendidikan berkualiti. Penambahbaikan dari aspek kecekapan penyaluran bantuan, program kesedaran komuniti, dan pembangunan infrastruktur pendidikan pedalaman perlu diperkukuhkan bagi memastikan kesinambungan impak positif program ini.